Penghayatan Terhadap As Sunnah Menurut Fiqh Keutamaan

Nota: Catatan Kuliah Penghayatan Terhadap As Sunnah Menurut Fiqh Keutamaan




Antara Hadith dan Sunnah

Secara umumnya, masyarakat sering menyamakan antara hadith dan sunnah. Namun, kajian terhadap penilaian para ulama salaf, antara yang masyhur dalam membezakan antara hadith dan sunnah adalah Abdur Rahman bin Mahdi - salah seorang guru kepada al Imam As Syafie sehingga dikatakan Imam As Syafie mendapat inspirasi menulis Kitab Al Umm daripada Abdur Rahman bin Mahdi.

Kata Abdur Rahman bin Mahdi,

"Sufyan At Tsauri itu Imam Hadith, tetapi bukan Imam Sunnah. Al Auzaie pula adalah Imam Sunnah, namun bukan Imam Hadith. Manakala Malik bin Anas (Imam Malik, pengasas mazhab Maliki) adalah Imam bagi Hadith dan Imam bagi Sunnah."

Namun, kata-kata ini hendaklah difahami dalam konteksnya iaitu dalam memperkenalkan kepakaran tokoh-tokoh di atas, dan sesekali bukanlah untuk merendahkan mana-mana ulama besar ini. Hakikatnya, bagi orang awam, mereka adalah Imam dan Alim dalam kedua-dua bidang hadith dan Sunnah.

Apakah yang membezakan antara hadith dan sunnah? Secara umumnya, kesemua Sunnah itu bersumber dari hadith tetapi tidak semua hadith itu adalah sunnah. 

Menurut Syeikh Abd Fattah Abu Ghuddah, beliau menyimpulkan bahawa "sunnah" dalam konteks perbahasan ini adalah merujuk kepada "yang menjadi pegangan dalam agama", setelah mengambil prinsip dan pengajaran daripada baginda Nabi saw, para sahabat dan para ulama salaf.

Apakah perkara atau faktor yang menyebabkan suatu hadith itu tidak menjadi sunnah?

1. Suatu hadith itu telah dimansuhkan oleh hadith yang lain. Sepertimana ayat Quran yang telah dimansuhkan, maka hukumnya juga tidak lagi terpakai, biarpun bacaan dan ayatnya tetap dibaca.

2. Suatu hadith itu menjadi khusus kepada baginda Nabi saw. Contohnya, biarpun ada hadith yang memperihalkan tentang Nabi mengahwini lebih daripada 4 orang isteri dalam satu-satu masa, ia bukanlah suatu sunnah yang menjadi ikutan kepada umat baginda.

3. Suatu hadith yang mengkhabarkan tentang sifat fizikal baginda atau khilqiah baginda Nabi saw. Dalam konteks ini, kita mengambil pendekatan seperti mana pendekatan dalam bidang tafsir, iaitu keutamaan adalah mengambil ibrah pengajaran berbanding mengkaji suatu perkara yang tidak diperincikan oleh Quran seperti rupa paras dan sebagainya. 

Contohnya, apabila membaca Surah Luqman, fokus kita adalah pada pesan-pesan Luqman pada anaknya berbanding mengkaji rupa paras Luqman dan sebagainya. Hal ini kerana, sebagai Mukmin, tanggungjawab kita adalah mendidik anak seperti Luqman, bukan untuk merubah wajah kita seperti Luqman.

Maka begitu jugalah kaedah dalam berinteraksi dengan hadith-hadith tentang memperihalkan sifat fizikal Nabi saw. Ya, kita membacanya demi menambah pengenalan kita kepada baginda dan sekaligus menambahkan cinta kepada baginda. Tetapi untuk berusaha menyamakan sifat fizikal kita seperti baginda Nabi saw bukanlah suatu tuntutan Sunnah. Bukanlah suatu sunnah untuk menyimpan rambut panjang seperti yang diperincikan dalam kitab Syamaail, atau berusaha mewarnakan kulit seperti warna kulit baginda Nabi saw.

Yang lebih utama adalah memahami pesan baginda lantas mengamalkannya.

4. Suatu hadith yang memperihalkan kebiasaan Nabi selaku manusia berbangsa Arab, iaitu Jibiliyyah. Ia merupakan suatu perbuatan baginda, biarpun tanpa wahyu Nabi akan tetap melaksanakannya. Contohnya adalah pemakaian jubah yang merupakan suatu kebiasaan Arab ketika itu. 

Selain itu, hadith yang mengkhabarkan kegemaran makanan Nabi juga bukanlah merupakan suatu sunnah yang dituntut untuk diamalkan. Contohnya, ada riwayat yang menceritakan Nabi suka memakan labu dan bahu kambing. Adakah suatu sunnah untuk kita selaku umat baginda menyukai juga memakan kambing dan labu?

Bahkan tidak. Nabi saw diutuskan bukan untuk berkempen memakan kambing atau labu! Teramat kecillah seruan ini berbanding seruan tauhid dan keadilan yang diseru baginda Nabi saw.

Ibnu Khaldun juga mempunyai pandangan yang selari dalam hal pemakanan yang dimakan Nabi, atau sering disebut sebagai pemakanan sunnah. 

Memang ada hadith yang meriwayatkan Nabi memakan madu, habbatus sauda dan sebagainya. Namun, dos pemakanannya tidak diperincikan bahkan sering sahaja situasi kita berbeza dengan suasana zaman baginda. Maka, siapakah yang layak menentukan dos? Ustazkah? Tidak. Mereka bukan pakar dalam perihal ubat-ubatan.

Oleh kerana itu, pihak JAKIM juga telahpun mengeluarkan suatu arahan agar penggunaan istilah makanan sunnah ini disemak semula agar tidak disalahgunakan dan mencemar kalimah sunnah itu sendiri.

Maka dengan kefahaman ini, mengajak kembali kepada Sunnah hendaklah ditujukan kepada bab dan topik yang benar. Mengajak kembali sunnah dengan erti kata kepada sunnah jibliah semata seperti jubah, bukanlah menjadi kemuncak kepada sebuah perjuangan sunnah.

Atas kefahaman perbezaan hadith dan sunnah inilah yang membawa kepada para ulama terkemudian menulis pelbagai kitab yang mengketengahkan sunnah-sunnah yang diperkukuhkan dengan hadith seperti Abu Bakar Al Athram dan sebagainya.

Oleh kerana itu, dengan kefahaman perbezaan antara hadith dan sunnah ini seharusnya memberikan suatu panduan, khusus untuk mereka baru berjinak-jinak dengan pengajian hadith agar tidak bermudah-mudahan dalam mengeluarkan suatu hukum atau "sunnah" dengan hanya bersandarkan satu hadith. 

Hal ini kerana, untuk menetapkan suatu hadith menjadi sunnah memerlukan kefahaman yang mendalam, mengkaji konteks hadith itu ketika Nabi mengungkapkan atau suasana suatu peristiwa dan lain-lain syarat yang difahami oleh para ulama yang arif.

Fiqh Al-Awlawiyyat

Fiqh itu sendiri memberikan maksud sebuah kefahaman yang mendalam. Kalimah yang sama digunakan oleh baginda Nabi saw ketika mendoakan Ibnu Abbas, agar dikurniakan kefahaman agama, iaitu yufaqqihu fid diin. 

Sedikit menyentuh tentang kefahaman tentang agama: Suatu kritikan terhadap kelompok yang terlalu gopoh atau teruja dalam mengkategorikan sesuatu praktis pihak lain sebagai bukan sebahagian daripada Islam.

Contohnya, dalam isu sebatan dalam isu jenayah syariah. Ya, sebatan untuk pesalah zina, peminum arak pastinya berbeza dengan sebatan terhadap pesalah rogol, rasuah dan sebagainya. Namun, adakah perbezaan ini membolehkan kita dengan yakin menyatakan bahawa sebatan pesalah rogol itu sebagai sebatan tidak islami?

Ya, dalam jenayah hudud, kaedah sebatan telahpun diperincikan oleh baginda Nabi serta dibahaskan oleh para ulama. Namun, bagi jenayah rogol, rasuah dan sebagainya, ia bukanlah dikategorikan di bawah jenayah hudud, tetapi takzir, iaitu ia kembali kepada ijtihad dan wewenang penguasa. 

Andainya seorang pesalah rogol hanya dihukum melalui sebatan ringan seperti pesalah zina, adakah ia berbaloi dan mampu menimbulkan ketakutan seperti objektif hukuman itu sendiri kepada orang awam? Mungkin tidak, bahkan bakal dipandang remeh sahaja. 

Maka sayugialah kita akui bahawa sebatan yang dilaksanakan kini untuk pesalah tertentu adalah di bawah takzir dan penilaian Islamik atau tidak bukanlah pada keseragaman bentuk hukuman dengan hudud, tetapi sejauhmana ia mencapai objektifnya.

Di sinilah bezanya antara seorang yang faqih dan bukan faqih. Orang yang mempunyai fiqh, mampu membezakan antara perkara yang dianggap sama oleh orang awam.

Seterusnya adalah Awlawiyyat. 

Menariknya, kalimah Awla/Aula juga telahpun banyak digunapakai dalam masyarakat untuk memberikan maksud keutamaan. Maka, fiqh Awlawiyyat adalah suatu kefahaman akan perkara yang paling UTAMA yang wajar dilaksanakan dalam sesuatu situasi.

Menariknya, istilah Fiqh Awlawiyyat ini seolah-olah baru diperkenalkan oleh Syeikh Yusuf Al Qaradawi dalam salah satu kitabnya. Istilah ini andai dikaji dalam kitab-kitab para ulama terdahulu, tidaklah dapat kita temui. 

Bahkan sebelum Syeikh Al Qaradawi "mempopularkan" istilah ini, beliau telahpun menggunakan istilah maratib amal, iaitu peringkat amalan dalam satu bukunya tentang kebangkitan Islam, Al-Sahwah al-Islamiyyah.

Namun begitu, ketiadaan sesuatu istilah bukanlah bermakna isi kandungannya tidak wujud sejak dulu. Banyak istilah baru, yang distrukturkan menjadi salah satu cabang ilmu mungkin tidaklah diketahui oleh generasi awal, namun isinya dibincangkan secara meluas.

Contohnya, ilmu bahasa Arab seperti Sorof, Balaghah, Bayan dan sebagainya mungkin tidak diketahui oleh para sahabat. Namun, perbahasan ilmu ini dijalankan secara tidak langsung dalam kalangan ilmuan mereka.

Oleh itu, kepada anak muda yang bersemangat dengan sunnah, janganlah gopoh dalam membidaahkan suatu istilah semata-mata ia tidak dibahaskan atau diketahui oleh para ulama terdahulu.

Dalam konteks apakah fiqh Awlawiyyat ini dilaksanakan dalam Quran ataupun yang digali dalam sunnah Nabi saw sendiri? Ya, bukti perlaksanaan fiqh Awlawiyyat yang digali daripada kedua sumber ini amatlah penting bagi membantah kefahaman sempit sesetengah kelompok yang menyamaratakan kesemua tuntutan agama pada tahap yang sama dengan mendakwa Hukum Islam ini wajib dilaksanakan.

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ ٱلْحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ كَمَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَجَٰهَدَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِۚ لَا يَسْتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّٰلِمِينَ 

Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

(Surah at Taubah : 19)

Dalam ayat ini Allah membezakan keutamaan kedua-dua amalan, walaupun hakikatnya kedua-dua amalan itu baik.

Bagi mereka yang mengambil pengkhususan dalam bidang fiqh dan usul fiqh, banyak kaedah fiqh disimpulkan oleh para ulama yang memberikan panduan tentang peranan Fiqh Awlawiyyat dalam penentuan hukum.

Contohnya, "Menolak Mafsadah lebih utama daripada Menarik Maslahah..". Menempuh Mafsadah yang kecil dimaafkan demi mengelakkan Mafsadah yang besar dan sebagainya.

Tiadalah para ulama terdahulu "berani" untuk mengagaskan kaedah ini melainkan ia merupakan suatu kajian dan ijtihad berdasarkan himpunan nas, Quran dan Sunnah.

Peristiwa Rekabentuk Kaabah dari Perspektif Fiqh Awlawiyyat

Secara spesifiknya, bagaimanakah Nabi saw melaksanakan Fiqh Awlawiyyat? Hal ini boleh dirujuk dalam salah sebuah kisah tentang komentar Nabi terhadap rekabentuk Kaabah.

أَلَمْ تَرَىْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوُا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ ‏"‏‏.‏ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ‏.‏ قَالَ ‏"‏ لَوْلاَ حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ ‏"

Maksudnya: “Tahukah kamu, bahawa kaummu (Quraisy) ketika membina semula Ka’bah, mereka mengurangkan binaannya daripada binaan asas yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim”. Aku (Aisyah) berkata: “Wahai Rasulullah, mengapa tidak kamu membinanya semula mengikut asas Nabi Ibrahim?” Baginda menjawab: “Jika tidak kerana kaummu masih baru meninggalkan agama kufur, nescaya aku telah melakukannya”.

Sahih al-Bukhari (1583). 

Dalam kisah sahih di atas, jelas menggambarkan keinginan Nabi untuk mengubah semula bentuk Kaabah, namun ditangguhkan kerana hal di atas bukanlah menjadi keutamaan pada masa itu, atas pertimbangan suasana yang belum kondusif, iaitu khuatir akan menggoncangkan iman bagi para penduduk Mekah yang baru sahaja memeluk Islam pasca Fathu Mekah.

Antara Ibadah dan Jihad dari Perspektif Fiqh Awlawiyyat

Dalam kitab As Siyar, tulisan Imam Adz Dzahabi, ada dinukilkan kisah perutusan surat antara dua tokoh besar, iaitu Fudhail bin Iyadh dan Abdullah bin Mubarak. Kisah ini biarpun dipertikaikan daripada sudut sanad oleh para pengkaji kontemporari, namun isi kandungannya tidak dikritik, iaitu adanya perbezaan dari perspektif Fiqh Awlawiyyat ketika berhadapan dengan situasi yang berbeza.

Dalam kisah ini, Abdullah bin Mubarak mengkritik Fudhail yang memilih untuk beribadah di dua Tanah Haram, sedangkan pada masa yang sama, ada panggilan Jihad.

Diungkapkan oleh Abdullah Ibnu Mubarak dalam bentuk puisi,

"Wahai abid dua tanah haram, jika kamu melihat kami,nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.

Orang yang membasahi lehernya dengan air mata, sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah..."

Berbezanya Jawapan Nabi terhadap Persoalan yang Sama dari Perspektif Fiqh Awlawiyyat

Andai diteliti akan hadith-hadith, kita akan dapati jawapan baginda Nabi saw itu berbeza, biarpun pada soalan yang sama.

Contohnya, ketika menjawab soalan amalan yang paling afdhal daripada Ibnu Mas'ud ra,

عَنْ عَبْدِ اللّه بن مَسْعُودٍ رضي اللّه عنه قال: ” سَأَلْتُ رَسُولَ اللّه صَلَّى اللّه عَلَيْهِ وَسلَّمَ: أَي الْعَمَلِ أَحَبُّ إلى اللّه؟ قال: ” الصَّلاةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” بِرُّ الْوالِدَيْنِ “. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” الجِهَادُ في سَبِيلِ اللّه ” – رواه البخاري

Daripada Abdullah Ibn Mas’ud RA berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai?’ Baginda menjawab, “Solat pada waktunya”. ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab, “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’. Baginda menjawab, “Jihad di jalan Allah.” 

(Diriwayatkan oleh Bukhari)

Manakala ketika menjawab soalan yang hampir sama oleh Ummul Mukminin, Aisyah ra,

 "Amalan paling dicintai Allah SWT ialah amalan berterusan walaupun sedikit." 

(HR Muslim)

Dan begitu jugalah banyak riwayat lain yang memberikan jawapan yang berbeza terhadap soalan amalan yang paling utama.

Kata Syeikh Mubarakfuri, berbezanya jawapan Nabi ini kerana baginda Nabi saw mengenali latar dan permasalahan orang yang datang bertanya kepada Nabi saw. Maka jawapan baginda tepat dan sesuai untuk menjadi solusi bagi sahabat yang bertanya.

Maka hal inilah yang harus diteladani oleh para pendakwah dalam membantu orang awam dalam menentukan keutamaan dalam amal berdasarkan kondisi yang berbeza. 

Contohnya, haji merupakan amal yang mulia dan sebahagian daripada rukun Islam. Tetapi andai kita memahami orang yang datang bertanya itu merupakan orang yang relatifnya miskin, tiada sebarang simpanan di Tabung Haji sekalipun, wajarkah kita membahaskan perihal haji kepada kelompok ini? 

Bukankah membahaskan tentang keutamaan haji bakal mengundang rasa sebak dan kesukaran dalam agama, sedangkan kewajipan haji itu masih terangkat bagi golongan ini?

Namun, janganlah sesekali disamakan antara berbezanya ucapan baginda ini dengan ucapan para ahli politik yang licik. Mungkin pada satu tahap, kita mulai memahami ungkapan yang begitu tuntas daripada salah seorang tokoh dari Turki, Said Badi'uzzaman an Nursi yang pernah mengungkapkan,

"Aku berlindung kepada Allah daripada Syaitan dan Politik!"

Ya, apabila perjalanan politik dipenuhi oleh para ahli politik yang licik! Ucapan mereka berbeza bukan sesekali kerana memahami latar orang yang bertanya. Tetapi ia melampaui batas prinsip dan intergriti ilmu, hanya berdasarkan di blok mana ahli politik itu berada sekarang.

Ketika dulu, ahli politik inilah yang membongkarkan keboborokan lawan politiknya dan selepas sahaja dia memutuskan untuk bekerjasama dengan lawan itu, orang yang sama diangkat dan disucikan. 

Ada ahli politik yang menggelarkan Perlembagaan sebagai kafir, dan menentangnya sebagai jihad, dan beberapa tahun selepas itu, orang yang sama kita wajib mempertahankan perlembagaan dan inilah jihad kita!

Kata Jamaluddin al Afghani, dalam mengkritik keras para ulama yang bersifat lalang dan oportunis, kamu ini diperintahkan Allah untuk bertasbih kepadaNya, bukan kamu "bertasbih" memuji pemimpin kamu!

Ya, begitulah besarnya perbezaan antara perlaksanaan Nabi sebagai salah satu contoh Fiqh Awlawiyyat berbanding hipokrasi para oportunis.

Menjaga Imej Agama dan Fiqh Awlawiyyat

Sebagai memperkukuhkan perlaksanaan Fiqh Awlawiyyat dalam as Sunnah, peristiwa Nabi saw tidak menghukum ketua para Munafiq, Abdullah bin Ubai boleh dirujuk.

Abdullah bin Ubai berkata: 

“Demi Allah jika kami pulang ke kota Madinah, nescaya akan mengeluarkan orang yang mulia daripadanya orang-orang yang hina.” 

Ini menyebabkan Saidina Umar meminta izin Rasulullah SAW untuk memenggal leher si munafik ini. Lantas Nabi SAW bersabda dengan hadis ini.

لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ

Maksudnya: “Supaya orang ramai tidak bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (4905)

Andai diteliti kisah Abdullah bin Ubai, siapakah dia dalam konteks kontemporari? Melakukan kegiatan subversif, pengkhianat negara dan sebagainya. Adakah hukuman yang dicadangkan Umar itu wajar? 

Mungkin. Tetapi baginda Nabi saw tetap tidak bersetuju atas maslahat yang lebih besar, iaitu menjaga imej Islam itu sendiri. 

Antara kekhuatiran andainya menghukum Abdullah bin Ubai bakal disalah tanggap oleh mereka yang baru berjinak dengan Islam sebagai Islam agama yang "ganas". 

Kata para ulama, tindakan baginda Nabi saw adalah suatu tindakan siyasah yang besar, demi menjadi panduan untuk umat kemudiannya dalam menjaga imej agama!

Bayangkan di kala ketiadaan media sosial sekalipun, tindakan Nabi penuh dengan ketelitian dan menjaga Awlawiyyat, adakah suasana kontemporari lebih utama untuk dipelihara hal ini?

Bahkan, dalam riwayat yang lain, Nabi saw pernah menangguhkan hukuman potong tangan ketika zaman perang.

 تُقْطَعُ الْأَيْدِي فِي الْغَزْوِ

“Tidak ada potong tangan dalam peperangan.” (HR Tirmidzi no 1450)

Imam Tirmidzi menambah bahawa ini jugalah pandangan Imam Al Auzaie, kerana khuatir mereka yang dihukum akan lari kepada musuh.

Ya, mungkin konteks terkini kita umat Islam tidak semuanya berada dalam suasana perang berbentuk fizikal seperti dahulu. Namun, hakikatnya kita umat ini sedang berada dalam peperangan persepsi, iaitu sentiasa pihak musuh Islam menggunakan media yang dikuasai mereka untuk memburukkan agama ini!

Maka andai diteliti hal ini, dikhuatiri perlaksanaan hukuman hudud bakal menjadi modal besar kepada pihak media musuh untuk memburukkan agama ini, lantas menjemput lebih ramai manusia memusuhi agama ini. Maka, dengan berpandukan Fiqh Awlawiyyat, mungkin penangguhan sebahagian daripada hukuman hudud lebih mencapai maslahat kepada umat seluruhnya berbanding perlaksanaannya pada zaman sekarang.

Hal ini tidaklah sesekali boleh dikatakan sebagai menolak hukum Tuhan, seperti yang didakwa oleh sesetengah golongan yang jumud dan melampau. Tetapi ia lebih kepada sebuah strategi dan pada masa yang sama menyusun perancangan untuk memberikan gambaran sepenuhnya keindahan Islam demi melawan "perang" persepsi ini.

Kesimpulan

  • Perlaksanaan Fiqh Awlawiyyat merupakan suatu tuntutan yang didasari oleh Sunnah. 
  • Merujuk pada waqi' (suasana semasa), keutamaan umat, pendakwah pada masa kini adalah menjaga imej agama.

Wallahua'lam